بسم الله
الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah SWT,
kerana dengan nikmat dan kurniaNya dapat lagi kita mengecapi segala nikmat
Allah SWT di atas muka Bumi Allah ini, di mana jika kita ingin menghitung
segala nikmat Allah sehari-hari kehidupan kita, maka sesungguhnya tidak akan
dihitung segala kurniaaan Allah. Hal ini seterusnya membuktikan betapa besarnya
rahmat Allah buat seluruh makhlukNya.
Dan di antara tanda rahmat Allah
kepada hambaNya adalah dengan menurunkan hujan, yang membawa rahmat kepada
seluruh alam; menyuburkan tanah, menumbuhkan tanaman, juga melahirkan ternakan,
seterusnya menjadi sumber rezeki buat seluruh umat manusia. Hal ini telah dirakamkan
dalam Al-Quran, dalan surah as-Sajdah ayat 27:
Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu
taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke
bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman,
yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka
sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan
bersyukur)?
Di dalam Surah az-Zukhruf ayat 11 pula,
Allah ada berfirman bahawasanya Allah telah menurunkan hujan di seluruh muka
Bumi ini menurut sukatan yang tertentu:
Dan (Dialah) yang menurunkan hujan dari
menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang
kering tandus tanahnya. Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup
semula dari kubur).
Maha Suci Allah yang telah menjadikan
aturan alam ini (sunnatullah). Sesungguhnya terdapat hikmah penurunan hujan
mengikut sukatan Allah. Menurut kajian, pola sukatan penurunan hujan di
pelbagai tempat di seluruh muka Bumi membawa kepada keseimbangan iklim dunia,
seterusnya mengawal keadaan persekitaran Bumi yang kita diami. Selain itu,
pengawalan taburan hujan juga dapat mengekalkan tahap kesuburan tanah, juga
mengelakkan kemarau panjang juga banjir besar. Masha Alah, begitu besarnya
rahmat Allah yang mengawal aliran hujan demi kemudahan kehidupan kita di dunia
ini.
Jadi, bersyukurlah kita dengan nikmat
Allah ini dengan menjaga alam ini daripada kerosakan dan pencemaran, yang
seterusnya boleh membawa bencana alam yang disebabkan oleh tangan-tangan kita
sendiri.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment